LONDON - Pakar-pakar pendidikan di Britain bimbang seni penulisan surat semakin terpinggir di negara berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Mereka berkata, semakin ramai remaja yang tidak tahu menulis pembukaan surat dengan betul, mengeja perkataan sincerely (yang benar) atau menutup surat dengan menulis nama.
Golongan remaja turut melupakan tanda bacaan dalam penulisan kesan daripada populariti e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan gaya penulisan majalah gosip yang semakin menjadi ikutan mereka.
Menurut pakar-pakar pendidikan, masalah tersebut akan membelenggu golongan muda apabila mereka meninggalkan sekolah dan mula mencari pekerjaan.
"Tidak ramai yang menulis alamat, termasuk tarikh, dan menandatangani surat termasuk menulis nama penulis," kata satu laporan pendidikan mengenai perkara itu.
Sementara itu, pemeriksa-pemeriksa ujian di Universiti Oxford dan Cambridge menyatakan bahawa remaja tidak tahu menggunakan tanda koma kerana kerap menggunakan SMS. - Agensi
No comments:
Post a Comment